Pendaftaran Perniagaan

Pengenalan
Pendaftaran Perniagaan (ROB)

Pendaftaran Perniagaan

Apakah syarat untuk mendaftarkan perniagaan pemilikan tunggal atau perkongsian?
Perniagaan mestilah memenuhi taksiran “Perniagaan” dibawah seksyen 2, APP 1956 dan KPP 1957.

Perniagaan dijalankan mestilah berperasi di Semenanjung Malaysia atau Wilayah Persekutuan Labuan

Pemilik/rakan kongsi mesti:
• Warganegara Malaysia atau penduduk tetap
• Berumur 18 tahun dan ke atas
Apakah bentuk perniagaan yang boleh didaftarkan?
Terdapat 2 bentuk perniagaan iaitu :

• Perniagaan milikan tunggal (seorang pemilik)

• Perniagaan perkongsian (2 sehingga 20 orang pemilik)
Bagaimana cara untuk mendaftar perniagaan baharu?
A. Pemilik menggunakan seperti nama sendiri seperti di dalam Kad Pengenalan (MyKad/MyPR):

• Perniagaan didaftar seperti Ali bin Ahmad, Leong Ah Keong, Lechumy A/P Mutusamy

• FI pendaftaran adalah RM30.00

• Fi maklumat perniagaan adalah RM10.00

• Milikan tunggal sahaja (Pertambahan rakankongsi tidak dibenarkan)

B. Pemilik menggunakan nama tred sebagai nama perniagaan:

• Nama perniagaan direka/dicipta untuk tujuan komersial sesuai dengan aktiviti/jenis perniagaan yang didaftarkan. Contoh: Perkhidmatan Indah Jaya, Restoran Ali Maju

• Fi pendaftaran perniagaan adalah RM60.00

• Fi maklumat perniagaan adalah RM10.00

• Milikan tunggal atau perkongsian
Bagaimana cara mengemukakan permohonan pendaftaran?
A. Pendaftaran melalui perkhidmatan ezbiz Online (ezbiz.ssm.com.my​)

Perkhidmatan ezbiz Online adalah diwajibkan untuk digunakan oleh pemohon bagi mendaftarkan perniagaan. Sila rujuk panduan pendaftaran perniagaan di portal SSM.

• Perkhidmatan ini tersedia 24 jam sehari, 7 hari seminggu

• Setiap pemilik / rakan kongsi perlu mendaftar sebagai pengguna Ezbiz Online . Sila rujuk Panduan Mendaftar Akaun Penggu​​na Ezbiz​​

• Pemegang akaun pengguna Ezbiz boleh melaksanakan transaksi pendaftaran baru, perubahan maklumat perniagaan, pembaharuan pendaftaran dan penamatan

B. Perkhidmatan melalui kaunter SSM (Alternatif sekiranya terdapat masalah teknikal pada system Ezbiz dan jika ada permohonan yang perlu dilaksanakan di kaunter seperti perintah mahkamah
Lengkapkan borang pendaftaran baru (Sila rujuk senarai borang) di portal SSM.

• Perkhidmatan kaunter adalah alternatif sekiranya terdapat masalah teknikal sistem dalam talian dan tiada transaksi/permohonan yang belum ditawarkan melalui ezbiz oleh SSM

• Pemilik/rakan kongsi perlu hadir dikaunter untuk pengesahan pemilik
Apakah kelebihan mendaftar perniagaan secara online?
Penggunaan perkhidmatan ezbiz online adalah selaras dengan perkembangan teknologi terkini dan membantu wawasan kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan secara atas talian dan manfaat lain iaitu:

• Permohonan boleh di lakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa.

• Jimat masa (tidak perlu beratur dan menunggu giliran di kaunter)

• Jimat kos (pengangkutan/minyak dan parking)

• Proses pendaftaran dan intergriti maklumat lebih terjamin

• Pemegang akaun pengguna Ezbiz boleh memantau perniagaan berdaftar bila tarikh luput dan boleh melakukan pembaharuan perniagaan tersebut
Apakah perubahan perniagaan yang boleh dibuat bagi perniagaan berdaftar?
Pendaftaran Perubahan maklumat Perniagaan mestilah dibuat dalam masa 30 hari daripada tarikh perubahan

Perubahan maklumat perniagaan melibatkan perkara berikut:
• Alamat utama/operasi perniagaan
• Jenis perniagaan
• Alamat cawangan (Tambah atau Tutup)
• Pemilikan pemilik (Kemasukkan/Tarikdiri/Kematian)

Mengemukakan permohonan perubahan kepada Pendaftar/SSM (Sila rujuk Panduan dan Tatacara Pendaftaran Perubahan Perniagaan) di Portal SSM.

Fi pendaftaran ialah RM20.00 dan maklumat perniagaan RM10.00
Bolehkah perniagaan perkongsian menukar statusnya kepada pemilikan tunggal?
Perniagaan perkongsian boleh menukar statusnya kepada pemilikan tunggal atau sebaliknya (perniagaan berdaftar nama tred) melalui permohonan perubahan pemilikan (sila rujuk Panduan dan Tatacara Pendaftaran Perubahan Perniagaan​) di portal SSM.

Fi pendaftaran ialah RM20.00 dan maklumat perniagaan RM10.00
Bolehkah pemilik perniagaan menukar sesuatu nama perniagaan berdaftar?
Tidak boleh. Di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, tiada peruntukan membenarkan sesuatu perniagaan berdaftar menukar nama perniagaan.

Pemilik boleh mendaftar perniagaan baharu dengan nama perniagaan yang lain.
Bagaimanakah cara untuk memperbaharui Pendaftaran Perakuan Perniagaan?
Pembaharuan Pendaftaran Perniagaan boleh di lakukan melalui:

• Portal ezbiz Online oleh pemegang Akauan pengguna ezbiz
• Mesin kiosk ezbiz di mana-mana Pejabat SSM
• Bank Simpanan Nasional atau Bank Kerjasama Rakyat Berhad terpilih
• Kaunter SSM alternatif sekiranya terdapat masalah teknikal pada sistem online
Fi Pembaharuan

• Perniagaan (nama sendiri) – RM30.00 setahun
• Perniagaan (nama tred)– RM60.00 setahun
• Setiap Cawangan – RM5.00 setahun

Pembaharuan perakuan pendaftaran boleh dibuat bila-bila masa sebelum tarikh luput dan tidak melebihi 12 bulan dari tamat tempoh pendaftaran perakuan tersebut.
Bolehkah sebuah perniagaan yang telah tamat tempoh perakuan pendaftaran melebihi 12 bulan memperbaharui pendaftaran perniagaan?
Tidak boleh.

Pemilik perniagaan tidak boleh memperbaharuan pendaftaran perniagaan yang telah luput melebihi 12 bulan Pemilik perlu perniagaan baru atau mendaftar semula perniagaan tersebut dengan nama perniagaan sama tapi dengan no. pendaftaran baru, dengan syarat nama perniagaan tersebut tidak didaftar oleh mana-mana peniaga
Berapa lamakah tempoh jangkamasa pendaftaran perniagaan atau pembaharuan sesebuah perniagaan?
​Sesebuah perniagaan boleh didaftarkan pendaftaran atau diperbaharui pendaftaran bagi tempoh tidak melebihi lima (5) tahun iaitu satu (1) sehingga lima(5) tahun dengan kadar fi yang ditetapkan.​
Bagaimanakah untuk mendaftarkan penamatan perniagaan?
Pemilik / rakan kongsi perlu memaklumkan kepada Pendaftar / SSM dalam masa 30 hari daripada tarikh operasi perniagaan ditamatkan. Bagi sesuatu perniagaan terbatal selepas kematian rakan kongsi dan tiada rakan kongsi yang masih hidup atau Orang yang Bertanggungjawab, wakil peribadi atau waris kadim hendaklah dalam masa 4 bulan dari tarikh kematian memgemukakan pemberitahuan penamatan pernaigaan kepada Pendaftar/SSM bagi perniagaan berdaftar yang masih aktif atau belum luput tempoh pendaftaran. Sila rujuk Panduan dan Tatacara Pendaftaran Penamatan Perniagaan​​ di portal SSM.

Tidak perlu mengemukakan pemberitahuan penamatan perniagaan jika perniagaan berdaftar yang telah luput tempoh perakuan pendaftaran.
Pemilikan tunggal perniagaan berdaftar meninggal dunia, apakah tanggungjawab waris?

Jika pemilik perniagaan bagi milikan tunggal meninggal dunia, waris Si mati, hendaklah memfailkan satu notis penamatan dalam Borang C dalam tempoh empat (4) bulan dari tarikh kematian.

Sekiranya perniagaan masih beroperasi, waris dibenarkan mendaftarkan perniagaan baru menggunakan nama perniagaan yang sama dengan nombor pendaftaran berbeza dengan syarat nama perniagaan tersebut tidak didaftarkan oleh pemilik perniagaan lain. Walaubagaimanapun kaedah ini hanya terpakai kepada perniagaan yang berdaftar menggunakan Nama Tred sahaja dan tidak terpakai kepada Nama Personal / nama seperti dalam Kad Pengenalan.

Waris boleh memohon surat pengesahan perniagaan yang ditamatkan dengan fi kadar ditetapkan bagi membolehkan berurusan dengan agensi berkaitan perniagaan berkenaan sebelum ini.
Bagaimanakah untuk mengesahkan penamatan perniagaan sekiranya perniagaan telah luput disebabkan permohonan penamatan perniagaan tidak boleh dikemukakan kepada Pendaftar/SSM?
Pemilik boleh mendapatkan “Surat Pengesahan Tamat Tempoh Pendaftaran Perniagaan (Business Expiry Confirmation Letter)”. Sila rujuk perkhidmatan e-Info dan Myd​ata​ di portal SSM bagi pembelian maklumat tersebut.​
Di manakah Borang Pendaftaran Perniagaan boleh diperolehi?
SSM menggalakkan pelanggan untuk melakukan pendaftaran melalui portal EzBiz Online. Namun, untuk kes-kes tertentu, pemilik perniagaan boleh memuat turun borang Pendaftaran Perniagaan melalui portal SSM (www.ssm.com.my​) untuk menghantar permohonan melalui kaunter.
Mengapakah maklumat nombor telefon bimbit dan e-mel terkini pemilik perlu dikemukakan?
No. telefon bimbit dan e-mel terkini akan disimpan di pangkalan data sistem SSM. Ia akan digunakan untuk memberi makluman kepada pemilik misalnya status permohonan, notis peringatan pembaharuan dan lain-lain pemakluman dari SSM dari masa ke semasa.
Bolehkah sesebuah syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 mendaftarkan perniagaan?
Menurut seksyen 4, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 tidak terpakai kepada perniagaan yang dipunyai sepenuhnya dan dijalankan oleh mana-mana syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965.​
Apakah tanggungjawab pemilik perniagaan?
• Mendaftarkan perniagaan dalam tempoh 30 hari dari tarikh permulaan perniagaan dengan mengemukakan permohonan Pendaftaran Perniagaan baru kepada Pendaftar/SSM.

• Memperbaharui pendaftaran perniagaan dalam tempoh 30 hari sebelum tarikh tamat pendaftaran atau pembaharuan terdahulu dengan mengemukakan Pembaharuan Pendaftaran perakuan Perniagaan kepada Pendaftar/SSM.

• Mendaftarkan perubahan butir perniagaan dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlakunya perubahan alamat utama, jenis perniagaan, alamat cawangan dan maklumat pemilik dengan mengemukakan Permohonan Pendaftaran Perubahan Maklumat Perniagaan kepada Pendaftar/SSM.

• Pemberitahuan penamatan perniagaan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penamatan operasi perniagaan atau disebabkan kematian dalam masa 4 bulan dari kematian dengan mengemukakan Pemberitahuan Penamatan Perniagaan Berdaftar kepada Pendaftar/SSM.

• Mempamerkan Sijil Pendaftaran Perniagaan di tempat yang mudah dilihat di premis perniagaan utama atau cawangan.

• Meletakkan papan tanda yang mempamerkan nama perniagaan di luar premis perniagaan, dan jika terdapat lebih daripada satu tempat perniagaan, di luar setiap tempat perniagaan itu

• Mempamerkan nama perniagaan dan nombor sijil pendaftaran di kepala surat, invois, bil dan lain-lain dokumen perniagaan.

• Mendapatkan lesen, permit, atau surat kebenaran sewajarnya daripada pihak berkuasa berkaitan jenis perniagaan yang memerlukan kelulusan walaupun perniagaan tersebut telah didaftarkan dengan SSM.

Apakah kesalahan di bawah peruntukan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan kaedah-kaedah pendaftaran perniagaan 1957
• Seseorang yang menjalankan perniagaan tanpa mendaftarkan perniagaan atau meneruskan perjalanan sesuatu perniagaan selepas tamat tempoh pendaftaran apabila disabitkan dengan kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

• Tidak mempamerkan perakuan pendaftaran apabila disabitkan dengan kesalahan tersebut boleh didenda sebanyak RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.

• Sesiapa yang didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Akta ini atau sebarang peraturan-peraturan di bawah Akta ini di mana tiada penalti disebut dengan nyata apabila disabitkan dengan kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.