Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan

Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan
Pendaftaran Perniagaan (ROB)

Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan (Pindaan) (No. 2) 2020

Apakah definisi perniagaan atas talian?
Perniagaan atas talian bermaksud orang yang menjalankan perniagaan atas talian dengan tujuan membekalkan barang atau perkhidmatan melalui laman web, aplikasi web atau pasaran dalam talian, atau melalui cara elektronik lain yang berkaitan dengan laman web, aplikasi web atau pasar dalam talian.

Menurut MDEC, menerangkan perniagaan atas talian sebagai eCommerce yang merujuk kepada "pembelian dan penjualan produk melalui internet, dan perkhidmatan yang menyokong aktiviti tersebut, termasuk pemasaran, pengembangan platform penjualan dalam talian, perkhidmatan penghantaran, dan banyak lagi".
Adakah perniagaan atas talian perlu didaftarkan?
Seperti mana-mana perniagaan lain, perniagaan dalam talian hendaklah didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 [Akta 197].
Adakah perniagaan atas talian yang didaftarkan perlu untuk mematuhi undang-undang yang mengawal perniagaan?
Keperluan untuk mematuhi Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957 serta undang-undang lain yang mengawal perniagaan hendaklah terpakai kepada perniagaan dalam talian serta penerbitan dalam talian dan media elektronik.
Apakah tujuan pindaan tersebut?
Objektif pindaan diadakan adalah untuk menerangkan peraturan-peraturan yang terpakai kepada perniagaan atas talian.

Pindaan tersebut bertujuan untuk-

(a) memudahkan urusan perniagaan atas talian;

(b) melindungi pengguna mendapatkan maklumat perniagaan atas talian yang sahih dan tepat;

(c) menjamin integriti para peniaga daripada aspek ketelusan dalam perniagaan atas talian yang berdaftar; dan

(d) memberi keyakinan kepada para pembeli yang berurusan dengan pihak yang menjalankan perniagaan atas talian berdaftar tersebut.
Apakah pindaan yang terkandung dalam Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan (Pindaan) (No. 2) 2020 [P.U.(A) 140/2020]?

Melalui pewartaan Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan (Pindaan) (No. 2) 2020, pindaan adalah seperti berikut:

(a) Kaedah 13 – Pameran Perakuan Pendaftaran;

(b) Kaedah 13A – Mempamerkan Papan Tanda;

(c) Borang A Jadual Pertama – Pendaftaran Perniagaan; dan

(d) Borang B Jadual Pertama – Pendaftaran Perubahan Butiran Perniagaan.
Adakah perniagaan yang dijalankan atas talian perlu mempamerkan nama perniagaan dan nombor pendaftaran perniagaan sebagaimana diperuntukkan di bawah Kaedah 13?

​Kaedah 13 dipinda untuk memastikan nama perniagaan dan nombor pendaftaran perniagaan atas talian hendaklah dipamerkan di laman web, mana-mana platform sosial media dan pasaran dalam talian. Keperluan ini adalah sama seperti keperluan yang dikenakan keatas perniagaan fizikal seperti keperluan untuk mempunyai papan tanda yang mempamerkan nama dan nombor pendaftaran perniagaannya.
Bagaimana pula sekiranya perniagaan dijalankan melalui premis tetap/fizikal serta secara atas talian juga?
​Dalam kes seperti ini, peniaga dikehendaki mematuhi keperluan yang terpakai terhadap premis tetap/fizikal dan juga secara atas talian.
Apakah alamat yang perlu didaftarkan jika perniagaan atas talian tidak mempunyai tempat perniagaan tetap atau fizikal?
​Kaedah 13 juga dipinda agar alamat kediaman dianggap sebagai tempat perniagaan jika perniagaan atas talian tersebut tidak mempunyai tempat perniagaan tetap atau fizikal.
Adakah perniagaan atas talian perlu mempamerkan papan tanda sebagaimana diperuntukkan di bawah Kaedah 13A?
Kaedah 13A telah dipinda untuk mengecualikan perniagaan atas talian daripada keperluan untuk mempamerkan papan tanda perniagaan di alamat berdaftarnya sekiranya alamat kediaman digunakan sebagai tempat berdaftar dan tempat perniagaan.
Apakah pindaan kepada Borang A dan Borang B?
Borang A dan Borang B dipinda agar perniagaan atas talian perlu memasukkan alamat URL sebagai alamat perniagaan atas talian tersebut di laman web, mana-mana platform sosial media dan pasaran dalam talian perniagaan tersebut, termasuk cawangan.
Jika nama perniagaan adalah selain daripada nama yang didaftarkan untuk perniagaan atas talian, adakah nama perniagaan atas talian yang berdaftar itu perlu juga dipamerkan di laman web, aplikasi web atau pasaran dalam talian sebagai rujukan?

​Ya. Contohnya: Nama perniagaan (dimiliki sepenuhnya oleh ABC Enterprise).